LIFESTYLE - REVIEW - TRAVEL - BEAUTY - HEALTH

Friday, 5 January 2018

Tanda-Tanda Tonsil Dan Rawatan

Apakah itu TONSIL?

Tonsil merupakan sepasang kelenjar yang terletak di bahagian belakang mulut bersempadan dengan tekak. Ia merupakan sebahagian daripada sistem limfatic yang memainkan peranan dalam sistem ketahanan badan.


Foto dari internet


Apakah itu TONSILITIS?

Tonsilitis ialah keradangan tonsil akibat daripada jangkitan virus atau bakteria. Ia menyebabkan tonsil menjadi bengkak, merah dan sakit. Jangkitan tonsil adalah salah satu penyakit yang kerap berlaku terutamanya di kalangan kanak-kanak.


Apakah tanda-tanda TONSILITIS?

  1. Sakit tekak
  2. Sakit ketika menelan
  3. Demam (kadang-kadang sehingga menggigil)
  4. Sakit kepala
  5. Perubahan suara
  6. Sakit di bahagian leher disebabkan oleh kelenjar limfa - keradangan pada kelenjar limfa leher.
  7. Tonsil kelihatan merah dan bengkak.
  8. Mungkin terdapat tompok-tompok putih atau nanah di atas kelenjar tonsil apabila diperiksa oleh doktor.
Apakah komplikasi yang boleh disebabkan oleh Tonsilitis?
  1. Jangkitan telinga tengah (Otitis Media)
  2. Tonsil bernanah (Peritonsillar Abscess)
  3. Jangkitan merebak ke paru-paru (Pneumonia)
  4. Dehidrasi (Dehydration)


Apakah rawatan untuk Tonsilitis?

Rawatan utama bagi tonsilitis adalah ubat antibiotik untuk jangka masa sekurang-kurangnya seminggu.

Bagi jangkitan yang tidak teruk, ubat antibiotik jenis pil atau sirap adalah mencukupi. 

Tetapi sekiranya jangkitannya begitu teruk sehingga seseorang itu tidak dapat makan, antibiotik perlu diberi melalui suntikan intravena (masuk salur darah)

Selain antibiotik, ubat penahan sakit akan mengurangkan kesakitan dalam tekak. Ubat kumur dan semburan tekak juga boleh membantu melegakan sakit tekak di samping mempercepatkan pemulihan jangkitan tonsil. Air garam biasa boleh digunakan untuk berkumur.

Rehat yang mencukupi juga penting untuk pulih dari tonsilitis. Mereka yang dijangkiti tonsilitis perlu minum lebih cecair untuk meningkatkan hidrasi badan. Aliran cecair intravena mungkin diperlukan sekiranya penghidap tonsilitis tidak dapat makan.

Adakah saya akan sembuh setelah mendapatkan rawatan Tonsilitis?

Selepas memulakan rawatan, tanda-tanda tonsilitis biasanya akan berkurangan dalam 2 hingga 3 hari. Pada masa ini, jangkitan tonsil biasanya sudah terkawal. Walaupun begitu, anda masih meneruskan pengambilan antibiotik seperti yang dinasihatkan untuk sembuh sepenuhnya. Bagi mereka yang kerap menghidap tonsilitis sehingga mengganggu aktiviti harian seperti pergi ke sekolah atau bekerja, pembedahan untuk membuang tonsil (tonsillectomy) mungkin diperlukan.

PENJAGAAN SELEPAS PEMBEDAHAN TONSIL (TONSILEKTOMI)

Apakah persediaan sebelum pembedahan?

  1. Darah anda akan di ambil untuk pemeriksaan sebelum pembedahan.
  2. Anda akan dimasukkan ke wad sekurang-kurangnya sehari sebelum hari pembedahan.
  3. Penilaian oleh doktor bius dilakukan sehari sebelum pembedahan.
  4. Pastikan anda atau anak anda tidak menghidap sebarang demam/ batuk/ selsema/ teruk sekurang-kurangnya 2 minggu sebelum pembedahan.
  5. Pesakit diberi bius sepenuh semasa pembedahan dijalankan.
  6. Pastikan anda berhentikan sebarang pengambilan ubat cair darah sebelum pembedahan iaitu 7-10 hari.

Komplikasi Tonsilektomi

  1. Komplikasi disebabkan oleh ubat bius umum
  2. Pendarahan dari kawasan pembedahan
  3. Jangkitan pada kawasan pembedahan
  4. Sakit berpanjangan
  5. Regurgitasi melalui hidung (jarang berlaku)


Pendidikan Kesihatan Selepas Pembedahan

A.PEMAKANAN

  • Pesakit digalakkan makan supaya mempercepatkan proses penyembuhan.
  • Pesakit digalakkan untuk mengambil makanan yang tinggi protein dan lembut di peringkat awal seperti bubur, sup ikan, jeli, ais krim dan sebagainya.
  • Pesakit dinasihatkan supaya minum air secukupnya bagi mengekalkan hidrasi tubuh badan di mana ini dapat mengurangkan kesakitan.
  • Pesakit dinasihatkan agar mengambil diet yang seimbang. Elakkan dari mengambil diet yang panas, pedas, berminyak dan masam yang boleh mengakibatkan iritasi dan berlaku kesakitan serta pendarahan.
  • Elak dari mengambil makanan yang terlalu keras bagi mengelakkan kecederaan pada kawasan pembedahan.


B.PENGAMBILAN UBAT-UBATAN

  • Pesakit dinasihatkan supaya menghabiskan ubat antibiotik yang diberi untuk mengelakkan jangkitan di kawasan luka pembedahan (sekiranya diberi)
  • Lakukan kumuran terutamanya sebelum dan selepas makan untuk mengekalkan kebersihan kawasan luka pembedahan.

C.PENCEGAHAN
  • Elakkan daripada mengunjungi kawasan yang terdapat orang ramai bagi mengurangkan jangkitan silang (sekurang-kurangnya 2 minggu selepas pembedahan). Sekiranya perlu, pesakit dinasihatkan memakai topeng muka (face mask)
  • Elakkan dari mengambil alkohol dan rokok yang mana boleh melambatkan proses penyembuhan.

D.RAWATAN SUSULAN
  • Sekiranya pesakit demam atau sakit semakin teruk atau pendarahan semasa di rumah, dapatkan rawatan segera di hospital berdekatan.
  • Pesakit dinasihatkan datang untuk mendapatkan rawatan susulan yang diberi.

PERINGATAN!

Sekiranya berlaku pendarahan di rumah, pesakit dinasihatkan agar melakukan kumuran air bersama ais untuk menghentikan pendarahan. Pesakit dinasihatkan datang segera ke JABATAN KECEMASAN hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan selanjutnya. 



Sumber rujukan : Unit Pendidikan Kesihatan Hospital Ampang


No comments:

Post a Comment